Posted by : Yu. Syamz May 8, 2011

sumber asal : http://aljoofre.iluvislam.com/?p=87

Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini. Kesibukan menyebabkan penulisan ini terpaksa diletakkan di prioriti yang agak bawah. Tapi saya rasa tidak ada masalah bagi pengunjung. Ini kerana adanya RSS Feed di sistem blog sekarang yang memudahkan langganan. Tidaklah teruk asyik mengklik saban waktu, tanpa adanya kemaskini. (Ketika saya menulis ini,  Saudara Syed Khir dari TV9 menghubungi saya dari Malaysia, bertanyakan mengapa sudah lama tiada update).

Ada satu isu yang saya rasa terpanggil untuk mengulas ringkas. Lebih-lebih lagi, ramai yang bertanyakan saya. Alang-alang biar saya tulis di blog sahajalah. Isu ini mungkin agak panas baru-baru ini. Banyak blogger menulis. Banyak yang diminta ulasan. Panasnya, hingga kebanyakan berita di laman rasmi Dewan Ulamak PAS berlegar sekitar isu ini. Isunya “Kepimpinan ulamak”. Perlu sangatkah ulamak yang menjadi pimpinan atau, tak kisahlah siapa pun, yang penting mendaulatkan Islam.
Sebelum saya menulis lanjut, perlu ditegaskan di sini, maksud saya dengan kempimpinan ulamak di sini, adalah ulamak yang memang mampu mentadbir dan memimpin serta memahami keperluan kepimpinan. Tidak dinafikan bukan semua ulamak mampu mantadbir. Adanya ulamak yang berjiwa bagai Sayidina Abu Dzar Radhiyallahu ‘Anh (yang cukup hebat tetapi tidak disarankan menjadi pemimpin) bukan menjadi kayu ukur kepimpinan ulamak yang dimaksudkan.

Saya juga perlu sebutkan di sini, kepimpinan bukanlah suatu perkara yang patut direbutkan oleh mana-mana pihak jua, tak kira ulamak mahupun profesional. Ia adalah satu beban, satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah di hari pembalasan nanti. Akan tetapi ia juga satu fardhu kifayah yang wajib ada dalam Negara Islam.

Saya ingin mengulas ringkas persoalan dari tiga sudut:
1. Apa pandangan Fuqaha‘?
2. Bagaimana dengan sejarah?
3. Bagaimana pula pimpinan Ikhwanul Muslimin baru-baru ini yang bukan berstatus ulamak?


1. Apa pandangan Fuqaha‘?

Secara ringkasnya, majoriti Fuqaha’ meletakkan syarat untuk seseorang menjadi khalifah atau pemimpin tertinggi Ummat Islam mestilah seorang mujtahid.  Bukan calang-calang ulamak. MUJTAHID lagi. Ini kerana urusan sebagai khalifah bukanlah mentadbir manusia dalam urusan dunianya sahaja, tetapi juga akhiratnya. Malah mengatur urusan dunia juga dengan panduan syariat. Jadi hanya seorang yang arif urusan akhirat sahaja yang boleh mentadbir.

Andaikata tiada mujtahid pada zaman tersebut yang dapat mentadbir, maka diserahkan pula kepada orang yang paling banyak memiliki syarat-syarat ijtihad yang telah digariskan oleh para ulamak. Terlalu tinggi syaratnya, dan bukan sekadar memahami tuntutan agama secara dasar sahaja.
Dalam masa yang sama, ulamak yang mentadbir perlu merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk kelicinan pentadbirannya, sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam isu “mengahwinkan” pokok.

Namun tidak dinafikan di sana ada satu pendapat daripada Mazhab Hanafi yang berpandangan tidak disyaratkan untuk menjadi pempimpin mestilah seorang bertaraf mujtahid. Dalam pendapat ini, cukuplah seorang Muslim yang berfahaman dasar agama, dan sentiasa menjadikan ulamak sebagai sumber rujukan.
Pandangan majoriti Fuqaha’ bahawa syarat pemimpin mestilah seorang mujtahid ini juga menolak pandangan sebahagian pihak bahawa ulamak mestilah non-partisan dan menjauhkan diri dari urusan politik. Ini kerana jika semua ulamak terdahulu berpandangan begitu, bagaimana mungkin mereka meletakkan syarat mujtahid ini pada seorang khalifah.



2. Belajar dari sejarah..

Sesiapa yang tidak membaca sejarah takkan mampu mencipta sejarah. Kalam ini saya selalu ulang dalam ceramah-ceramah saya. Dalam isu sebesar ini lebih-lebih lagi kita perlu melihat kembali sejarah kita.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah pemimpin Negara Islam pertama. Itu tiada syak lagi. Selepas kewafatan baginda, bukan semua sahabat menjadi rujukan ilmu agama, dan berstatus mujtahid. Pengganti Baginda, Sayidina Abu Bakar asalnya seorang profesional. Tetapi akhirnya menjadi seorang mujtahid di kalangan para sahabat. Begitu juga dengan Sayidina Umar, Sayidina Utsman dan Sayidina Ali Radhiyallahu ‘Anhum Ajma’in. Kesemua mereka tergolong di kalangan mujtahid terbesar daripada para sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka ini dinamakan Khulafa’ Arrasyidin.

Pengganti mereka pula adalah Sayidina Muawiyah. Juga di kalangan profesional yang menjadi ulamak. Beliaulah penulis wahyu. Beliau juga perawi hadis. Beliau juga salah seorang ulamak di kalangan para sahabat. Selepas itu, turun pula pemerintahan kepada anaknya Yazid. Yazid bukan ulamak. Apa yang terjadi?
Fitnah besar melanda ummat Islam. Perpecahan demi perpecahan yang besar berlaku. Tidak dinafikan pada zaman Muawiyah sudah wujud perpecahan ini. Malah daripada zaman Sayidina Abu Bakar dengan golongan enggan membayar zakat, dan begitu juga zaman Khulafa’ Arrasyidin yang lain. Akan tetapi di zaman Yazid, ia tidak terkawal. Perpecahan cukup besar, hingga empayar Islam ketika itu tidak diketahui siapa pemerintah sebenarnya.

Mungkin ada yang menyebut, lihatlah Khulafa’ Arrasyidin itu semuanya profesional bukan? Memang benar. Tetapi mereka telah ditarbiah oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri hingga mereka menjadi mujtahid besar. Profesional kita hari ini pun boleh jadi ulamak jika belajar dengan bersistem dan bukan hanya dasar-dasar Islam sahaja. Ilmu Islam boleh dipelajari oleh semua pihak. Menjadi mujtahid atau tidak, itu anugerah Allah.

3. Pimpinan Ikhwanul Muslimin pula bagaimana?

Ada pihak di Malaysia (malah di kalangan mereka yang ingin berjuang dalam gerakan Islam) yang menimbulkan persoalan, Syaikh Mustafa Masyhur dan Syaikh Mahdi Akif bukanlah di kalangan ulamak, akan tetapi bagaimana mereka menjadi Mursyidul Am bagi sebuah gerakan Islam yang cukup hebat, Ikhwanul Muslimin?

Senang ceritanya, Syaikh Mustafa Masyhur dan Syaikh Mahdi Akif walaupun tidak digelar ulamak, tetapi keilmuan mereka jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan “ustaz-ustaz” kita di Malaysia. Kitab-kitab karangan mereka sahaja sudah membuktikan betapa tinggi ilmu mereka. Banding dengan Ustaz pun kita kalah, belum nak dibandingkan dengan golongan profesional kita.

Mereka tidak digelar ulamak. Tetapi mereka telah menghafal AlQuran dari kecil. Hadis telah menjadi sebati dalam diri. Kalam Fuqaha’ dan ulamak mereka telah hadami. Walaupun Syaikh Mahdi contohnya, adalah guru sukan, tetapi beliau adalah khatib di Masjid. Beliau adalah pendakwah yang cukup tegar. Ilmunya jauh lebih hebat dari kita. Jadi sebenarnya perbandingan yang kita lakukan dengan profesional Malaysia lansung tidak kena. Malah ia lebih menunjukkan betapa Ikhwanul Muslimin sehingga hari ini masih lagi menitikberatkan kepimpinan ulamak.

Adapun di Malaysia, oleh kerana suasana tempatan kita yang jauh berbeza, dan tahap keilmuan kita juga yang masih rendah, maka tahap mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam Pengajian Islam adalah satu kayu ukur mudah untuk ketetapan kelayakan minimum. Saya mengakui ada juga mereka yang tiada ijazah jauh lebih alim daripada yang mempunyai PhD., akan tetapi amat sukar untuk kita menentukan tanpa kayu ukur begini.

Akan tetapi bukan semua yang memiliki ijazah sarjana muda (hatta PhD) dalam pengajian Islam adalah ulamak. Banyak juga apa yang diistilahkan sebagai Ustaz Mee Segera atau Ulamak Mee Celup. Ada juga yang ijazah bergulung tetapi kefahaman agama amat kurang, maka kita perlu pula meletakkan syarat-syarat lain untuk mengenalpasti golongan ulamak (antaranya adalah dengan mengenalpasti dengan guru-guru mana yang dipelajari, dan kitab-kitab apakah yang sudah dikhatamkan).

Penutup

Tulisan ini bukan ingin merendahkan mana-mana golongan. Maaf jika ada yang terasa pula. Ia hanya sekadar satu pencerahan yang saya rasa perlu dilakukan, dan satu jawapan kepada beberapa persoalan yang masih berbuku di hati kebanyakan kita, khususnya yang ingin bergelar pejuang Islam.
Saya juga tidak menafikan kewujudan khilaf ulamak dalam hal ini yang membolehkan kita bertaqlid dengan pendapat kedua. Namun saya masih tidak nampak rasionalnya untuk meninggalkan pendapat majoriti Fuqaha’ ini berdasarkan sirah dan pengalaman gerakan Islam selama ini.

Moga gerakan Islam akan makin utuh apabila gabungan ulamak dan profesional dapat bersatu hati dan tidak berpuak-puak. Malah biarlah kita menjadi satu. Sudah ramai ulamak yang menjadi profesional pada hari ini. Satu hari nanti, kita harapkan moga ramai di kalangan profesional kita pula yang boleh bergelar ulamak kemudiannya. Amiin…

Leave a Reply

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩
Terima kasih kerana sudi membaca artikel yang dimuatkan di sini,jadi sudilah kiranya utk mengulas@memberi komentar disini :

1. Jagalah adab menegur
2. Sila gunakan nama@link utk kemudahan bersama
3. Terima kasih sudi komen..
4. Boleh Guna Kod² Seperti Ini <b>, <i>, <a>

●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩๑▬▬▬▬▬●●▬▬▬▬๑۩۩

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © ::Permata Perjuangan™ :: - Permata Perjuangan - Powered by Blogger - Designed by Waalid Al-Marbawi -